KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 120 guni baju bundle bernilai RM50,000 menggunakan lori menerusi ‘jalan gajah’ di Kampung Stass di Bau, petang semalam.

Pegawai Pemerintah BN11 PGA, Superintendan Rosdi Inai berkata, cubaan pada 4 petang itu digagalkan pasukan diketuai Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff bersama lima anggota serta tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bertindak hasil maklumat risikan, pasukan itu telah ke lokasi dikenali sebagai Jalan Rahman, di dalam sebuah ladang sawit persendirian kira-kira 200 meter dari sempadan. Pasukan tersebut telah terserempak dengan dua lori bersama dua pemandu dan seorang kelindan warga tempatan berumur antara 20 dan 40 tahun.

"Kedua-dua lori itu masing-masing membawa 60 guni baju bundle, ketiga-tiga lelaki tersebut pula gagal menunjukkan sebarang dokumen pelepasan kastam untuk tujuan membawa keluar barangan terlibat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan sementara menantikan permohonan reman hari ini manakala semua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM190,000 akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Rosdi menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan mereka bagi memudahkan anggotanya melakukan siasatan. -Bernama