SIBU - Seorang buruh mengalami kecederaan pada dada dipercayai ditikam dengan senjata tajam semasa pergaduhan dengan rakannya di Sibu Jaya hari ini.

Pergaduhan antara mangsa, Balang Panyih, 52, dari Sungai Metah, Kapit dengan seorang pemandu lori berusia 24 tahun dari Kampung Mupoh Spak, Betong dikatakan berlaku pada 12.30 tengah hari berhampiran sebuah stesen minyak akibat salah faham ketika minum bersama sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit yang mengesahkan kes itu berkata sepasukan anggota D7 Jabatan Siasatan Jenayah Sibu yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan itu bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat kejadian.

“Apabila tiba di tempat kejadian, didapati seorang lelaki iaitu mangsa cedera pada bahagian dada akibat daripada pergaduhan dan seorang lagi lelaki yang dipercayai suspek cuba melarikan diri di bahagian bumbung premis sebuah kedai,” katanya.

Polis menahan suspek yang turut mengalami kecederaan pada bahagian kening kiri, leher dan jari kaki kanan serta merampas sebilah pisau yang dijumpai di tempat kejadian yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan dan mangsa menerima 10 jahitan.

Suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan akan dirujuk kepada pihak narkotik untuk ujian air kencing.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.