KOTA KINABALU -  Bot pancing Ocean Kamara, yang mengalami kerosakan enjin di perairan pelantar minyak Saint Joseph dekat sini, ditemukan petang tadi dengan kesemua 12 pemancing dalam keadaan selamat.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata bot pancing bersama-sama pemancing tempatan berumur di antara 30 hingga 40 tahun itu ditemukan di kedudukan 11.6 batu nautika barat daya pelantar minyak berkenaan pada jam 5.45 petang.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu menerima maklumat daripada pesawat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) memaklumkan bot pancing itu berada di kedudukan 11.6 batu nautika barat daya pelantar minyak Saint Joseph.

“Selepas menerima maklumat itu, kapal KM Berani digerakkan ke lokasi berkenaan dan mengesahkan penemuan bot itu yang mengalami kerosakan enjin pada 5.45 petang. Dengan penemuan bot pancing dan pemancing, operasi SAR ditamatkan pada 7 malam tadi,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Bot pancing itu akan ditunda menuju ke jeti Kampung Serusup, Tuaran oleh kapal KM Berani dan dijangka tiba kira-kira 10.15 malam ini namun, ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Mohd Zubil turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi SAR itu.

Dalam pada itu, Mohd Zubil turut mengingkatkan semua pemilik bot supaya melengkapkan bot mereka dengan alat komunikasi yang boleh terus menghubungi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum berlepas keluar ke laut.

“Perkara ini sangat penting dalam memastikan aspek keselamatan di laut terjamin,” katanya.

Maritim mengaktifkan operasi SAR pada 6.50 pagi tadi bagi mengesan bot pancing dinaiki 12 individu itu dengan menghantar KM Berani serta dibantu oleh aset Polis Marin, dan pesawat milik PDRM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bot pancing itu bergerak keluar dari jeti Kampung Serusup, Tuaran pada 12.30 tengah Jumaat sebelum mengalami kerosakan enjin di kawasan perairan pelantar minyak tersebut pada lewat petang semalam.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuching menahan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh kawasan perairan Sarawak untuk menangkap ikan, Selasa lalu.
  • KUALA KURAU - Tindakan pantas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pangkalan Kuala Kurau memberi bantuan kecemasan kepada seorang nelayan sakit di tengah lautan berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.
  • PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) merampas 52 bubu naga daripada sebuah bot pukat hanyut yang ditahan pada jarak dua batu nautika dari perairan Kerian dan Larut Matang, semalam.
  • KUALA TERENGGANU - Tidak sampai dua minggu, perairan Terengganu sekali lagi dicerobohi nelayan asing susulan penahanan dua bot nelayan Vietnam membabitkan rampasan bernilai RM3 juta, kira-kira 100 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, semalam.
  • KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Timur menahan tiga bot nelayan asing yang menceroboh dan menangkap ikan dan gamat di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada Khamis dan semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.