SIBU - Sebelas lagi penumpang bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga di pedalaman Sarawak semalam berjaya diselamatkan, menjadikan jumlah penumpang yang terselamat dalam tragedi itu 192 orang, kata Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau.

Beliau berkata kumpulan terbaru mangsa itu diselamatkan lewat malam tadi oleh sebuah tongkang yang lalu di kawasan itu dan kemudiannya dibawa ke pusat perlindungan sementara di sebuah rumah panjang berhampiran lokasi kejadian.

Katanya setakat ini jumlah sebenar penumpang yang menaiki bot itu tidak dapat dipastikan memandangkan senarai penumpang belum dikemukakan kepada polis.    

Bakar berkata jumlah penumpang yang dinyatakan semalam dibuat berdasarkan temu bual dengan pengusaha bot dan mangsa yang terselamat.

"Setakat ini, kami tidak dapat menyatakan jumlah sebenar mangsa yang masih hilang...melainkan kami ada senarai penumpang," katanya ketika dihubungi dari sini hari ini.   

Bot ekspres 'Kawan Mas' sedang dalam perjalanan dari Bakun di pekan Belaga menuju Kapit apabila dikatakan terlanggar batu dan karam dekat Tanjong Giam Bungan antara 8.30 pagi dan 9 pagi semalam.

Sementara itu, Bakar berkata pasukan mencari dan menyelamat menetapkan kawasan lingkungan 3km di sekitar lokasi bot itu karam untuk menjalankan operasi mencari. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KABONG - Mangsa tragedi bot karam di muara Sungai Krian Sabtu lepas, ditemukan lemas pagi ini.
  • TAWAU - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa tragedi bot karam yang dipukul ombak ketika menghala ke Sungai Nyamuk pada Selasa lepas, menjumpai dua lagi mayat masing-masing di perairan Malaysia dan Indonesia, hari ini.
  • TAWAU - Pihak berkuasa perlu melaksanakan langkah keselamatan yang lebih tinggi bagi mengelakkan berulangnya tragedi bot karam.
  • TAWAU - Polis mengesahkan setakat 11 pagi ini enam mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Batu Payung ditemukan, kata Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus.
  • TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menyambung semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) 13 lagi mangsa bot laju yang karam di perairan Batu Payung, Selasa lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.