TAWAU - Pihak Berkuasa Indonesia masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa insiden dua bot berlanggar di perairan Indonesia pada malam tadi.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata mangsa yang masih belum ditemui merupakan seorang kanak-kanak dan KRI Tawau serta pihak berkuasa Nunukan akan memantau perkembangan insiden itu yang berlaku pada pukul 7.30 malam (waktu Indonesia) di perairan pulau Sebatik, Indonesia.

"Laporan pihak berkuasa di Nunukan berkata bot laju itu membawa 21 penumpang dewasa terdiri daripada dua kanak-kanak dan dua kru bot yang berumur lingkungan 12 hingga 54 tahun," katanya kepada Bernama.

Djati berkata sehingga kini lima orang iaitu empat wanita dan seorang lelaki meninggal dunia.

"Manakala seorang kru bot dipercayai melarikan diri dan seorang kanak-kanak masih belum ditemui," katanya mangsa lain terselamat dan berada di Nunukan serta Pulau Sebatik (SungaI Nyamuk) di Indonesia.

Sementara itu, Bernama difahamkan beberapa mangsa yang terlibat dalam insiden itu dipercayai bekerja di ladang di Sandakan.

Sebelum ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Tawau turut bertindak memantau kawasan sekitar perairan Malaysia dengan melibatkan empat aset maritim serta sebuah aset Pasukan Polis Marin (PPM). - Bernama