KUCHING – Semua Bilik Gerakan Bencana Negeri, Bahagian dan Daerah di Sarawak akan dilengkapi kemudahan untuk persidangan video.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan kemudahan persidangan video yang menggunakan telefon pintar, segala keputusan akan dapat dibuat dengan lebih tepat dan pantas.

Beliau berkata, pemasangan alat persidangan video di setiap bilik gerakan itu adalah antara langkah penambahbaikan yang dilakukan sebagai persiapan awal JPBNS bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan.

Semua maklumat serta pelaporan agensi yang berkaitan dengan bencana di Sarawak perlu melalui urus setia di Bilik Gerakan Negeri bagi mengelak sebarang pertindihan data dan kekeliruan orang awam, kata Uggah kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat penyelarasan ketiga bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut di sini hari ini.

Beliau berharap penyaluran bantuan bencana, khususnya berkaitan pembaikan infrastruktur dapat dilakukan segera.

“Kita yakin segala permohonan dapat diluluskan dalam tempoh dua minggu setelah diterima oleh pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” katanya dan menambah bahawa JPBNS telah bersedia dengan kekuatan kakitangan, pegawai, logistik dan pusat pemindahan yang mencukupi.

Katanya, kekuatan pegawai dan logistik agensi responder adalah seramai 22,436 orang dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak.

Sebanyak lima helikopter, lima drone, 121 buah lori, 484 kenderaan pacuan empat roda, 328 bot dan 101 ambulans akan digunakan, manakala terdapat 621 pusat pemindahan sudahpun disediakan di seluruh negeri yang mampu menempatkan seramai 199,065 orang.

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga, katanya, telah membuat penambahbaikan dengan menyediakan pangkalan hadapan di 18 kawasan, iaitu Kuching (21), Kapit (4), Bintulu (3), (7), Sri Aman (1) dan Mukah (1), manakala setor dan depot terdapat tiga kawasan, iaitu sebuah di ibu pejabat JKM Kuching, Samarahan dan Miri dengan jumlah 165 pembekal di seluruh negeri Sarawak.

Sementara itu, katanya semua Residen akan bersiapsiaga dan Bilik Gerakan Banjir di semua bahagian dab daerah diaktifkan pada bila-bila masa.

“Saya yakin dengan kerjasama semua jabatan dan agensi berkaitan, jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan lancar,” katanya dan berharap pengurusan bencana negeri akan tersusun dan dapat mengurangkan ketidakselesaan mangsa banjir. - Bernama