KUCHING - Persidangan Manik Antarabangsa Borneo Ke-13 (BIBCO 2013) di sini bulan depan akan menonjolkan keistimewaan manik Sarawak.

Persidangan itu juga dijangka menjadi platform untuk para artis, sarjana, penyelidik dan pengeluar manik dari dalam dan luar negara untuk mewujudkan rangkaian bagi berkongsi idea serta kepakaran.

Persidangan tiga hari itu, yang bermula pada 11 Okt, merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pelancongan negeri dan Jabatan Warisan Negara serta mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak, Biro Konvensyen Sarawak, Muzium Sarawak, Majlis Kraf Sarawak, Kampung Budaya Sarawak, Majlis Kraf Sedunia dan Majlis Kraf Sedunia Rantau Asia Pasifik.

"Ceramah tentang langsir manik daripada kaca yang disampaikan peminat manik China terkenal, Valarie Hector, merupakan antara acara menarik pada BIBCO 2013," kata penganjur acara itu, CraftHub Sdn Bhd, dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain Hector, yang mempelajari seni manik Dayak ketika melawat Pontianak dan Putussibau di Indonesia pada 1985, persidangan ini akan turut dihadiri pakar manik terkemuka seperti Akwele Suma Glory dari Afrika, Elaine Kim (Korea), Martina Dempf (Jerman), Stefany Tomalin (United Kingdom), Heidi Munan, Su Chin Sidih, Patricia Nayoi, Dr Zuliskandar Ramli dan Dr Poline Bala (Malaysia).

Maklumat lanjut tentang persidangan ini boleh didapati dengan melayari laman web CraftHub www.crafthub.com.my. - Bernama