KUCHING - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setakat semalam telah mengumpul 19, 868 borang permohonan daripada mereka yang berminat di kesemua 31 bahagian Parlimen Sarawak, kata Jurucakap Bersatu Affendi Jeman.

Beliau berkata meskipun penyertaan itu belum diproses, namun semangat ditunjukkan ketika ini memperlihatkan kesemua mereka mahu bersama Bersatu sebagai tanda sokongan rakyat Sarawak terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu.

“Keyakinan kami berpadukan majoriti rakyat Sarawak yang mahu melihat perubahan landskap politik negeri dan Bersatu adalah platform tepat untuk melakukannya. Sebagai tanda terima kasih kepada Tun M, pemimpin yang peduli rakyat dan bersedia menerima rintihan serta gesaan rakyat, kami akan menggandakan usaha mencapai sasaran 50,000 ahli pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Bersatu Petra Jaya ditemui semasa sidang media Penubuhan Jawatankuasa Portem 31 Bahagian Bersatu Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) yang dijangka berlangsung pada 2021, Bersatu Sarawak turut menyasarkan penyertaan keanggotaan lebih daripada 200,000.

Kali terakhir PRN Sarawak adalah pada 2016, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dan kini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS), dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Adalah menjadi harapan kami agar Tun Dr Mahathir tidak menghampakan rakyat Sarawak yang tegas untuk bersama Bersatu. Menjelang hujung tahun ini juga, beliau boleh melancarkan parti Bersatu di Sarawak sebelum berakhirnya tempoh pembubaran Dun  kelak,” katanya.

Menurut laporan akhbar Utusan Borneo pada 7 Julai lepas, Ketua Penaja Bersatu Sarawak Shariff Busrah mendakwa PPBM Sarawak telah mempunyai 3,777 ahli berdaftar di  Kuching. - Bernama