KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah hari ini mengumumkan bayaran khas RM500 untuk setiap anggota perkhidmatan awam negeri yang akan dibayar serentak dengan pembayaran gaji bulan Disember ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2019, berkata bayaran itu bagi menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam pelbagai bidang yang membantu kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Dengan penghargaan ini kita mengharapkan perkhidmatan awam selaku jentera pentadbiran kerajaan akan membawa Sabah ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang lagi," katanya.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata bagi meningkatkan keupayaan, profesionalisme dan kecekapan penjawat awam, kerajaan negeri juga menggalakkan budaya pembelajaran secara berterusan termasuk menguasai kemahiran baharu.

Katanya, bagi tujuan itu, penyediaan biasiswa sebanyak RM9.56 juta disediakan tahun depan bagi penjawat awam yang layak untuk menyertai kursus jangka pendek di pusat pengajian berprestij di luar negara di bawah program Latihan Dalam dan Luar Negeri yang dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.

"Antara pusat pengajian yang berprestij dan berprestasi tinggi di luar negara termasuk Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di England dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat,  katanya. - Bernama