KUCHING - Bapa kepada mendiang Tchee Kiam Jong, iaitu Tchee Foh Hin amat terharu dengan sifat prihatin rakyat Sarawak berbilang kaum dan berlainan agama yang datang menziarahi keluarganya sambil menghulurkan sumbangan.

Kiam Jong, 24, adalah seorang daripada tiga yang maut dalam insiden letupan gas dan runtuhan di NeNe Chicken di CityOne Megamall pada Selasa lalu. Insiden berkenaan turut mencederakan 44 yang lain.

“Sejak kejadian pada Selasa lalu, saya terima ramai pengunjung yang bersimpati dengan nasib yang menimpa anak saya (Kiam Jong).

[ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Tiga maut CityONE Megamall meletup]

“Mereka…Cina, Melayu, Bidayuh, Iban dan lain-lain bangsa termasuk orang yang beragama Islam sama-sama datang untuk mengucapkan rasa simpati dan menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan barangan,” kata warga emas berusia 66 tahun itu.

Antara yang menghulurkan derma kepada Foh Hin hari ini ialah pemilik CityOne Megamall, Stephen Long dan wakil bekas penuntut Sekolah Menengah St. Teresa Kuching tahun 1981, iaitu Rita Lopez dan Maureen Ben.

Beliau ketika ditemui di rumah usangnya di Kampung Stutong Baharu di sini hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang menziarahi keluarga beliau serta menghulurkan bantuan.

Mengenai rumahnya yang usang itu, Foh Hin yang lumpuh mohon supaya Ahli Parlimen Stampin dan Adun Batu Lintang membantu beliau untuk mendapatkan rumah kos murah untuk beliau sekeluarga.

Beliau yang sudah kematian isteri, kini tinggal bersama anak lelaki beliau yang kedua berusia 26 tahun sementara anak sulung beliau yang lelaki berusia 29 sudah berkahwin dan tinggal dengan menantu beliau.

Sementara itu, Stephen ketika datang menziarahi keluarga mendiang Kiam Jong hari ini tidak dapat menahan sebak ketika berbual dengan bapa mendiang.

Ketika lawatan itu, Stephen telah menghulurkan bantuan kewangan dan bertanya kepada bapa mendiang Kiam Jong apakah bentuk bantuan yang beliau boleh hulurkan kepada keluarga itu.

Katanya, beliau sangat kesal dan sedih dengan insiden itu.

Stephen berkali-kali memohon maaf sambil menyatakan bahawa beliau akan membantu mangsa dan keluarga mangsa apa yang beliau mampu.

“Wang boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh dikembalikan dan saya sangat sedih dengan tragedi ini, terutama mereka yang menjadi mangsa,” tambahnya.

Katanya, beliau akan membantu untuk membaik pulih rumah keluarga mendiang dan melihat keperluan lain keluarga itu termasuk kebajikan bapa mendiang. - Bernama