MIRI - Seramai 120 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang di Baram tidak dapat meneruskan sesi persekolahan pada pagi ini akibat banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, sesi persekolahan terpaksa ditamatkan awal pagi ini setelah paras air meningkat 1.5 meter di padang sekolah dan kuarters guru.

“Paras air di blok pentadbiran, blok asrama, dewan dan dapur asrama dinaiki air antara 0.3 meter dan 1 meter hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata setakat ini paras air menunjukkan tiada perubahan dan semua kakitangan SK Long Bemang yang masih berada di sekolah tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Menurutnya, SK Long Bemang mempunyai sembilan kakitangan pentadbiran, 14 guru, dan 30 anggota keluarga kakitangan sekolah tersebut.- Bernama