• Banjir kilat, tanah runtuh Hisham menunjukkan tebing bukit di tepi rumahnya yang runtuh akibat hujan lebat, malam kelmarin.
  • Banjir kilat, tanah runtuh Beginilah keadaan air lumpur yang melimpah sehingga masuk ke dalam rumah penduduk di Taman Amalina Lestari, di sini.
1 /

SUNGAI LUI – Hujan lebat sejak Maghrib, kelmarin dan berterusan sehingga tiga jam mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air, selain berlakunya kejadian tebing runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Melayu Sungai Lui Kelompok 1, 2 & 3, Azman Mustapha berkata, beberapa rumah di Kelompok 1 berdepan risiko apabila tebing tanah runtuh ketika hujan lebat.

Menurutnya, pada masa sama beberapa penghuni di kediaman Kelompok 2 pula terpaksa berdepan banjir apabila air berlumpur memasuki rumah.

“Keadaan di luar jangka apabila air secara mendadak memenuhi kawasan rumah penduduk hingga tidak sempat menyelamatkan barangan penting.

“Lebih membimbangkan lagi apabila berlaku kejadian tebing tanah runtuh akibat laluan air dari pinggir bukit. Oleh itu, kita harap pihak berkaitan dapat lakukan sesuatu untuk keselamatan jangka panjang penduduk di sini,” katanya.

Azman berkata, bencana seperti itu tidak mustahil akan berulang dan berharap pihak berkaitan dapat membantu mengatasi kebimbangan penduduk.

Katanya, setakat ini belum lagi terjadi ancaman nyawa kepada penghuni kediaman berhampiran, tetapi sebolehnya usaha mencegah perlu dilakukan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

“Kejadian tebing tanah runtuh juga berlaku di Kelompok 3 berhampiran dengan rumah Hisham Mohd Noor, 50-an.

“Pada masa sama, berlaku tanah runtuh di lorong menghala ke kediaman penduduk dan menutup separuh jalan,” katanya.

Risiko kediaman atas bukit

Kesannya turut dialami penduduk Taman Amalina Lestari yang merupakan kawasan kediaman di atas bukit.

Ternyata kedudukan tinggi bukanlah jaminan selamat daripada banjir, sebaliknya air berlumpur memenuhi ruang rumah.

Rohana Kanin, 28, berkata, dia tidak dapat bertahan lagi apabila terpaksa bersiap sedia untuk menyekat air daripada memasuki rumah setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, limpahan air datang dari jalan depan rumah yang berkedudukan lebih tinggi.

“Air deras terus menujah ke arah deretan rumah di sini dan pada masa sama, longkang kecil tak dapat menampung air yang banyak serta terus membuak keluar.

“Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa berdepan risiko ini dan pasti kepenatan membersihkan rumah, malah beberapa peralatan juga rosak,” katanya.

Rohana berkata, masalah itu tidak akan berakhir sekiranya penyelesaian tidak dilaksanakan sebaiknya termasuk usaha membesarkan longkang di hadapan rumah.

Katanya, dia bersama enam lagi ahli keluarganya tidak dapat menikmati sepenuh kepuasan tinggal di rumah itu.

"Kedudukan rumah di taman ini yang terletak di atas bukit, sepatutnya tidak berlaku banjir kilat memandangkan berada di kedudukan yang tinggi.

“Tetapi keadaan deretan rumah yang lebih rendah berbanding barisan rumah lain menjadikan kami berdepan risiko banjir kilat apabila air dari beberapa arah menujah ke arah rumah kami,” katanya.