KOTA KINABALU – Anggota koperasi perlu memperlengkapkan diri dengan  ilmu pengetahuan dan kemahiran di samping sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai  bidang perniagaan serta industri lain bagi membantu memajukan koperasi masing-masing.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan ilmu yang dimiliki itu akan dapat membantu merealisasikan visi dan misi koperasi dan kepada semua anggota koperasi.

“Saya menyeru agar anggota lembaga koperasi menjadi peneraju dengan mengambil apa jua langkah dalam membawa keuntungan kepada koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbaguna Sanya Berhad, (KOSAN) di Wisma Muis, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon Ming Fung.

Shafie berkata pihak pengurusan koperasi juga perlu memantapkan urus tadbir yang sedia ada bagi memastikan pengurusan koperasi berjalan dengan lancar selain mengukuhkan keyakinan orang awam khususnya pelanggan koperasi.

Sementara itu, Pengarah Suruhajaya Koperasi Malaysia (SKM), Negeri Sabah Umar Sarim Saidin berkata anggota koperasi perlu bijak dalam menentukan pembelian sesuatu aset supaya mampu memberi pulangan yang tinggi.

SKM sentiasa terbuka untuk membantu anggotanya yang merancang untuk mengembangkan koperasi melalui pembelian aset ataupun bidang perniagaan lain.

“SKM amat menggalakkan koperasi membeli aset tetapi perlu memilih aset yg betul-betul memberi pulangan kepada koperasi seperti menjalankan aktiviti perladangan, pertanian, peruncitan dan Ar-Rahnu.

“Contohnya anggota koperasi boleh membeli bangunan dan mengubahsuai menjadi sebuah mini hotel  mahupun hotel bajet yang menawarkan penginapan kepada pelancong yang sentiasa datang ke Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Umar Sarim berkata sehingga kini terdapat 1,492 koperasi di negeri ini dengan  keanggotaan lebih 300,000 dan nilai aset lebih RM822 juta. - Bernama