BINTULU – Seorang maut manakala dua cedera apabila dua buah kenderaan bertembung dalam kemalangan di Batu 20 Jalan Bintulu-Miri pukul 5.25 petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata,  Carine Chieng,18, pelajar perempuan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM),  maut di lokasi kejadian manakala ibunya yang juga pemandu,  Aban Hanyek, 48, cedera.

“Seorang lagi yang cedera ialah Rosdy Achan, 24, pemandu lelaki yang memandu Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Alexson berkata  ketika kejadian,  Aban, seorang surirumah, yang memandu kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri,  bertindak memotong sebuah kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku kemalangan.

“Kedua-dua mangsa cedera dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.  – Bernama