KOTA KINABALU - Sebelas ahli Parti Warisan Sabah hari ini dipanggil untuk disoal polis berhubung perhimpunan yang diadakan di perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu pada 10 Oktober lepas.

Percakapan mereka difahamkan dirakam di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu di sini bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan antara 200 hingga 300 orang dipercayai dianjurkan oleh parti berkenaan.

Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti terhadap ketua pemuda dan naib presiden parti itu yang diperintah ditahan reman oleh mahkamah bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam untuk pembangunan luar bandar Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Antara yang dipanggil oleh polis ialah timbalan presiden parti yang juga Ahli Parlimen Penampang Darrel Leiking; timbalan presiden yang juga Adun Likas Junz Wong; bendahari yang juga Adun Moyog Terrence Siambun; dan setiausaha tetap Loretto Padua Jr, yang juga peguam mewakili individu yang direman itu.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra mengesahkan perkara itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Ketua pemuda dan naib presiden parti berkenaan bergelar 'Datuk' antara lapan individu ditahan reman setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta iaitu sebahagian daripada  RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diselewengkan daripada sebuah kementerian.

Dana RM1.5 bilion itu adalah sebahagian peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.