SANDAKAN - Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong akan memberi keutamaan kepada melaksanakan perkhidmatan ‘turun padang’ agensi-agensi kerajaan di sekitar kawasan Parlimen itu.

Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, ini bagi memastikan penduduk kampung tidak perlu menempuh perjalanan jauh untuk berurusan di pejabat agensi kerajaan.

Program itu akan dimulakan pada Julai ini membabitkan agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan dan Jabatan Tanah dan Ukur.

“Menerusi program itu, para pegawai agensi berkenaan akan menyediakan perkhidmatan, nasihat dan maklumat berkaitan kepada kepada rakyat.

"Ada pegawai dari Semenanjung yang tidak memahami dialek tempatan dan ini memberi masalah...kami perlu menangani isu ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Vui Keong berkata, pihaknya tidak mahu rakyat menghadapi masalah itu ketika berurusan dengan agensi kerajaan setelah menempuh perjalanan jauh.

"Bukan sahaja perlu membayar kos pengangkutan malah mereka perlu menanggung kos penginapan jika ada keperluan berurusan lebih sehari untuk permohonan yang dibuat," katanya.

Justeru itu, katanya, membawa perkhidmatan agensi kerajaan kepada rakyat dapat menjimatkan masa dan kos. - Bernama