KOTA MARUDU – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengajak jentera pentadbiran awam negeri dan persekutuan di Sabah berganding bahu dengan kerajaan pimpinannya untuk mengembalikan semua kegemilangan negeri itu.

Justeru, Ketua Menteri itu meminta semua penjawat awam negeri dan rakyat negeri itu agar bersatu dan bersama-sama dengan beliau membantu membangunkan negeri tersebut.

Beliau juga mengingatkan agensi awam negeri dan persekutuan agar terus bekerjasama rapat dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan untuk membangunkan negeri Sabah demi kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak minta tuan-tuan dan puan-puan masuk (parti) Warisan. Saya tidak minta tuan-tuan memakai baju Warisan dan mengundi Warisan.Tidak. Saya cuma perlukan bantuan anda untuk bangunkan Sabah,” katanya berucap pada majlis jamuan malam bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di sini malam ini.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata Sabah suatu masa dahulu adalah negeri serba maju dengan memiliki banyak agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang berjaya sehingga menjadi contoh dan rujukan negeri jiran Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, Sabah kini hilang kegemilangan yang pernah dikecapinya dahulu disebabkan kelemahan serta kegagalan pentadbiran kerjajaan-kerajaan lalu termasuk kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Katanya, walaupun usaha untuk mengembalikan kegemilangan berkenaan bukan suatu yang mudah  namun beliau yakin jika rakyat Sabah bersatu tanpa landasan kaum, bangsa dan agama dan berganding bahu dengan kerajaan pimpinannya, ia mampu dicapai.

Katanya, Sabah merupakan sebuah negeri yang amat kaya dengan pelbagai sumber semulajadinya namun ia tidak akan memberi apa-apa manfaat sekiranya sumber kekayaan itu tidak diurus dan ditadbir sebaik-baiknya. - Bernama