KOTA KINABALU -  Semua Adun pembangkang di Sabah yang mengangkat sumpah hari ini, bukan lagi menjadi wakil rakyat BN kecuali Umno.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun,berkata,  kesemua Adun tersebut telah memenangi kerusi masing-masing dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam PRU14 sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan BN.

Johnny yang juga Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Sabah turut berkata, perkara itu sudah dijelaskan dalam satu sidang media bersama Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di pejabat mereka di Donggongon, Penampang, pada 12 Mei lalu.

Selain PBS, parti komponen lain termasuk UPKO dan PBRS sudah pun menyuarakan pendirian mereka dengan bertindak keluar BN seperti mana dilaporkan dalam media tempatan, baru-baru ini.

“Saya hanya menyuarakan semula apa yang diumumkan oleh pucuk pimpinan sebelum ini seperti PBS di mana Presiden, Tan Sri Pairin sudah mengisytiharkan keluar BN dan mahu menubuhkan Gabungan Bersatu dalam satu sidang media di Donggongon pada bulan Mei lalu,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Sementara itu, Johnny berkata, dalam laporan sidang media Pairin dan pucuk pimpinan pada 12 Mei lalu sudah mengisytiharkan bahawa PBS bertindak meninggalkan BN untuk membentuk gabungan pemerintahan dalam ‘Gabungan Bersatu’ iaitu gabungan pemerintahan antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Namun buat masa ini, kecuali Umno masih bersama BN, Datuk Bobby Suan (UPKO) dan Datuk Elron Angin (PBRS) yang turut hadir dalam upacara angkat sumpah sebagai Adun pada hari ini hanya mewakili parti masing-masing sahaja.

Manakala untuk PBS pula, enam Adun mereka yang terdiri daripada wakil rakyat Kundasang, Matunggong, Tandek, Kiulu, Tamparuli dan Labuk.

Terdahulu, dalam upacara mengangkat sumpah yang diadakan secara tertutup, seramai 19 daripada 21 Adun pembangkang mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dun Datuk Syed Abbas Syed Ali di Dewan Dun Sabah pagi tadi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 19 lagi Adun Sabah angkat sumpah hari ini ]

Bagaimanapun, Adun Sungai Sibuga dan juga Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Adun Apas, Datuk Nizam Titingan tidak hadir dalam upacara tersebut.

Semalam, kesemua Adun pembangkang itu tidak hadir untuk upacara mengangkat sumpah kerana memboikot tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang disifatkan mereka tidak mengikut perlembagaan negeri.