KUCHING - Sarawak kini sudah bersedia termasuk meletakkan 15,152 anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana khususnya banjir pada musim tengkujuh ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata selain itu, sebanyak lima helikopter, lima dron, 172 lori, 549 kenderaan pacuan empat roda, 283 bot serta 109 ambulans disediakan untuk tujuan sama.  

“Sebanyak 610 pusat pemindahan yang boleh memuatkan 203,960 orang juga telah bersedia untuk dibuka di seluruh Sarawak. Jabatan Kebajikan  Masyarakat  juga telah menyediakan 16 buah pangkalan hadapan di bahagian Kuching, Kapit, Bintulu dan Miri,” katanya.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang Dun di sini, hari ini.

Katanya untuk memastikan pengurusan bencana banjir kali ini lebih teratur dan berkesan, agensi yang bertanggungjawab telah menganjurkan kursus penggunaan sistem pengurusan bencana negeri.

“Kursus ini telah dihadiri oleh wakil semua daerah. Semua pegawai daerah  dikehendaki memasukkan data-data bencana ke dalam sistem supaya maklumat banjir secara ‘real-time’ dapat diperoleh pada bila-bila masa dan bantuan segera dapat disampaikan kepada mangsa dengan lebih efektif,” katanya. - Bernama