LAHAD DATU - Seramai 67 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina ditahan di Tanjung Labian dekat sini ketika menyusup masuk ke negara ini, pagi tadi.

Panglima 13 Briged (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)), Brig Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata Pati yang ditahan itu terdiri daripada 35 lelaki, 13 wanita dan 19 kanak-kanak yang berumur antara empat hingga 50 tahun.

"Kejayaan ini adalah hasil rondaan pasukan operasi Op Pasir Pesisir Pantai di bawah naungan 13 Briged (Esscom) iaitu Batalion 3 Rejimen Renjer Diraja (3 RTD)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Arman berkata turut dirampas 17 bot dengan 16 daripadanya adalah bot pam dan nilai rampasan dianggarkan RM25,500.

Beliau berkata kesemua Pati dihantar ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut. - Bernama