KOTA KINABALU - Polis Sabah akan melatih seramai 1,670 orang yang menganggotai Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) bagi membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan panas di seluruh negeri menjelang hujung tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata buat masa ini, pihaknya melatih seramai 750 sukarelawan.

"Pasukan sukarelawan ini akan membantu menjalankan tugas-tugas polis seperti rondaan di khalayak ramai, perhimpunan dan kerja-kerja pejabat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah Jalinan Mesra SSPDRM hari ini.

Beliau berkata pihaknya menjangka mencapai sasaran untuk melatih anggota polis simpanan berdasarkan sambutan baik yang diterima setakat ini.

"Kita akan merekrut lagi pasukan SSPDRM selama empat hari bermula 19 Okt ini," katanya.

Hamza percaya kehadiran pasukan itu akan mempertingkat kawalan keselamatan dalam mengurangkan kadar jenayah secara keseluruhan, sejajar sasaran kerajaan untuk mencapai 10,000 SSPDRM di seluruh negara.-Bernama