KOTA KINABALU - Kerajaan negeri dan rakyat Sabah menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggariskan terma rujukan (TOR) yang komprehensif untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata beliau percaya TOR itu meliputi semua aspek, adil dan telus.

Beliau berkata pendedahan TOR itu pada hari ini juga membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib prihatin dan mendengar gesaan dan keperluan rakyat di Sabah dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Kepimpinan BN bukan sekadar memberikan janji. Beliau (Najib) melaksanakan dan menunaikan apa yang beliau kata akan lakukan," katanya selepas Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat BN negeri di Bangunan Umno di sini hari ini.

Terdahulu, Najib mengumumkan TOR lapan perkara bagi RCI itu yang menurutnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata beliau berharap kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menjalankan tanggungjawabnya dan mencapai objektif RCI.

"Kami akan berusaha dan menyumbang ke arah kejayaan RCI. Ia (TOR) adalah satu daripada isu yang dibangkitkan oleh bekas anggota Parlimen BN (yang keluar parti untuk menyokong pembangkang) tetapi kini ia sudah diumumkan.

"Kami percaya rakyat akan menyokong kerajaan kerana ini merupakan sesuatu yang kami semua nanti-nantikan," katanya.

Menyambut baik penubuhan RCI, Pairin berkata rakyat Sabah meletakkan harapan tinggi ke atas RCI untuk menyelesaikan isu masalah pendatang tanpa izin.

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok berkata Sabah perlu memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri yang benar-benar serius mahu menyelesaikan masalah itu.
   
Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata hampir semua isu yang dibangkitkan oleh Upko berhubung dengan penubuhan RCI telah dimasukkan dalam TOR.

Ditanya sama ada tempoh enam bulan untuk menyiapkan siasatan itu adalah mencukupi, Dompok berkata beliau tidak pasti dengan mengambil kira kerumitan masalah pendatang tanpa izin itu.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata parti itu agak berpuas hati dengan gabungan pesuruhjaya RCI dan TOR.

"Kami berharap pesuruhjaya (RCI) akan bekerja keras dan cuba menyiapkan siasatan dalam tempoh masa yang diberikan (enam bulan)," katanya.

Kurup menggesa rakyat memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada BN yang telah membuktikan keupayaan dalam mengambil tindakan perlu berhubung isu pendatang tanpa izin.- Bernama