PETALING JAYA - PH mengumumkan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Dun Seri Setia pada PRK yang dijadualkan berlangsung pada 8 September ini.

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan perkara itu pada Majlis Pengumuman Calon PRK N32 Dun Seri Setia di Desa Mentari, sebentar tadi.

Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan Halimey diharap akan dapat mengekalkan kemenangan PKR-PH di kerusi itu.

"Saya harap dengan pencalonan beliau (Halimey) yang juga seorang anak tempatan, kita akan dapat mengekalkan kerusi N32 Dun Seri Setia.

"Saya juga menyeru kepada semua pengundi Dun Seri Setia agar dapat keluar mengundi pada 8 Seotember nanti dan berikan undi anda kepada PH," katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Selain itu, Wan Azizah turut melancarkan Jentera Pilihan Raya PH bagi Dun Seri Setia.

Kerusi Dun Seri Setia kosong susulan penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu di Hospital Putrajaya akibat penyakit kanser usus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian serentak bagi PRK Dun Seri Setia dan Dun Balakong pada 8 Sepetember manakala hari penamaan calon pada 18 Ogos.