TANJUNG MALIM - Seramai enam Orang Berinsuran (OB) dan Orang Tanggungan (OT) dikunjungi oleh Skuad Perihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Daerah Batang Padang Mualim dalam Program Ziarah Prihatin.

Pengurus Perkeso Batang Padang Mualim, Sufian Shahuri Salleh berkata, Program Ziarah Prihatin itu sering dijalankan oleh pihaknya pada musim perayaan utama negara.

Katanya, menerusi program itu juga, pihaknya turut menyerahkan cek faedah Perkeso bersama sedikit saguhati kepada OB dan OT  yang terpilih di dalam daerah ini

“Pada Program Ziarah Prihatin ini, kita serah cek faedah dan sedikit saguhati kepada enam penerima  OB dan OT yang terpilih pada kali ini.

“Sumbangan yang diserahkan itu, sedikit sebanyak membantu mereka menyambut perayaan dengan lebih meriah melalui faedah Perkeso yang mereka layak terima,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama menyertai Program Ziarah Prihatin, Adun Behrang, Aminuddin Zulkipli turut menyampaikan sumbangan kepada OB dan OT terpilih dalam Daerah Mualim.

Sufian Shahuri berkata, selain cek faedah Perkeso dan saguhati, pihaknya juga membekalkan  peralatan pemulihan kepada salah seorang penerima selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Program yang dijalankan itu juga dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat setempat khususnya mengenai perlindungan Perkeso keapda warga pekerja di negara ini,” katanya.