IPOH - Adun Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dikatakan menolak lantikan semula beliau sebagai Pengerusi Umno bagi memberi laluan kepada Datuk Saarani Mohamad bagi penggal 2018-2021.

Ketua Umno Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, pihaknya menerima berita tersebut daripada sumber yang boleh dipercayai.

"Berdasarkan maklumat dipercayai, Datuk Seri Zambry menolak untuk dilantik semula sebagai Pengerusi Umno Perak dan memberi laluan kepada orang baru.

"Bagaimanapun saya difahamkan beliau menyatakan kesediaan untuk membantu Datuk Saarani dan inilah bukti bahawa beliau seorang pemimpin berjiwa besar selain membuktikan Umno Perak di bawah pimpinannya adalah yang terbaik kerana memenangi 27 kerusi Dun PRU14 lalu," katanya.

Mengulas mengenai lantikan Saarani mengantikan Zambry, Azhar berkata dia yakin dengan kebolehan Adun Kota Tampan itu memimpin Umno Perak memandangkan sebelum ini Saarani merupakan Timbalan Pengerusi Umno Perak.

"Datuk Saarani mempunyai kelebihan kerana dia pernah bersama-sama membantu Datuk Seri Zambry sebelum ini sebagai Timbalan dan sudah pasti pengalaman berkenaan amat berharga untuk menerajui Umno Perak.

"Sudah pasti pelantikan ini membawa harapan besar pertama kepada Umno, kedua harapan rakyat yang menyokong Umno dan ketiga harapan rakyat yang mahu melihat ke mana Umno Perak ini akan dibawa," katanya.

Tambahnya, sebagai ketua Umno bahagian yang baharu adalah menjadi harapan agar Saarani berjaya mengemudi kapal hingga ke destinasinya dan untuk memastikan kejayaan beliau tidak boleh bergerak sendirian.

"Kerana inilah kita perlu mewujudkan silaturahim kasih sayang antara ketua bahagian dan jangan ada yang tikam-menikam, mengadu domba, menghala peluru sesama kita hingga tidak tahu bagaimana berdepan dengan musuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya yakin Saarani akan membawa semangat baharu kepada Umno Perak.

"Beliau mempunyai pengalaman yang cukup banyak dan mampu menggalas serta memikul tanggungjawab bagi menjadi ketua di peringkat negeri di dalam suasana Umno tidak berkuasa ketika ini.

"Harapan saya agar semua peringkat dapat memainkan peranan masing-masing dengan memberikan tumpuan serta bangkit secara seiring dengan cabaran sedia ada," katanya.

Tambahnya kepimpinan Saarani yang cukup rapat dengan ahli serta masyarakat dilihat mampu memulihkan semangat membara ahli Umno dan rakyat yang masih mengharapkan wadah parti untuk menjaga agama.