IPOH – Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin umum meletakkan semua jawatannya dalam Umno dan mengisytihar diri keluar parti bagi menyertai Bersatu, hari ini.

Pengumuman dibuat dalam satu majlis, petang tadi turut disertai lebih 200 ahli Umno dari pelbagai Bahagian antaranya Pasir Salak, Tanjung Malim, Teluk Intan, Bagan Serai, Tapah, Parit Buntar, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Ipoh Timor, Parit dan Taiping.

Zainol Fadzi berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira suasana semasa politik negara juga demi menjaga kepentingan dan perpaduan rakyat di kawasan.

“Seperti yang telah saya janjikan dalam pilihan raya kepada masyarakat kawasan saya adalah untuk memberi khidmat sepenuhnya dan mereka adalah keutamaan saya dalam perkara ini.

“Keputusan ini juga saya ambil setelah mengambil kira pendapat majoriti daripada rakyat termasuk pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong di kawasan saya semalam .

“Tidak ada makna saya sebagai pemimpin jika tak dapat bantu rakyat sekiranya kerajaan negeri tidak seiring dengan kerajaan pusat, maka memberikan sokongan kepada kerajaan (pusat)

adalah lebih memudahkan saya berkhidmat,” katanya.

Antara pimpinan tertinggi Umno bahagian yang menyerahkan borang keahlian Bersatu ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Kamarul Rashdan Salleh; Timbalan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Abd Muhaimin Ahmad Nadzri; Timbalan Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Nadziruddin Mohd Bandi serta Ketua Penerangan Umno Bahagian Tapah, Pazli Abdullah Sani.

Semua borang keahlian diserahkan kepada Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Zainol Fadzi berkata,  pengalaman sebagai kerajaan pembangkang pada 2008 lalu cukup berguna untuk dijadikan rujukan dalam membuat keputusan itu.

“Keputusan bersama yang dicapai ini dibuat secara sukarela tanpa sebarang tekanan, paksaan mahupun imbuhan daripada mana-mana pihak.

“Kami bersedia untuk membantu serta berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan Harapan Perak untuk mencapai visi dan misi bagi masa hadapan rakyat,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Pakatan Harapan memperolehi mandat membentuk kerajaan negeri dengan majoriti 31 kerusi setelah mendapat sokongan dua wakil rakyat BN.

Dua wakil rakyat BN terbabit adalah Zainol Fadzi dan Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang dijangka akan membuat pengumuman menyertai Bersatu dalam masa terdekat.