IPOH - Kerajaan Negeri bakal bekerjasama dengan kerajaan Pusat bagi mewujudkan bank makanan pada masa depan.

Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, kewujudan bank itu mampu melestarikan sumber makanan negara yang kebanyakannya daripada sumber penternakan dan pertanian.

Menurutnya lagi, kewujudan bank makanan itu secara keseluruhannya akan membantu mengurangkan penggantungan rakyat kepada makanan import.

“Walaupun kita antara negara yang miliki keluasan tanah, tetapi tidak diuruskan dengan baik demi menghasilkan sumber makanan.

“Sebagai contoh, harga bagi ternakan lembu agak tinggi dan kita masih mengimport ikan.

“Oleh itu, bila kita wujudkan bank makanan ini, hasrat kita untuk mengawal harga makanan ini dapat direalisasikan,” katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Dialog Hala Tuju Koperasi Negeri Perak dan Majlis Ramah Mesra Bersama Gerakan Koperasi 2018, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dalam masa terdekat berhubung perkara berkenaan.

“Kita akan bertemu pihak berkaitan di Kementerian Pertanian untuk kita cari jalan terbaik, mungkin dengan melantik pakar uruskan bank makanan, ternakan atau pertaniannya.

“Kita juga akan bekerja lebih erat dengan kerajaan dan memberikan fokus kepada penternakan dan pertanian,” katanya.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain merancang menarik lebih ramai anak muda untuk menyertai koperasi.

Katanya, promosi berhubung perkara berkenaan juga akan dibuat tidak lama lagi.

“Kita merancang tarik anak muda dalam koperasi. Anak muda yang ceburkan diri dalam perniagaan  mahukan keuntungan besar dalam jangka pendek.

“Tapi dengan sertai koperasi kita akan berikan pengetahuan bagaimana uruskan perniagaan yang besar pula,” katanya.