CHEMOR - Seorang wanita warga emas nyaris maut apabila rumahnya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Che Zainal di sini, semalam.

Wanita berusia 60-an itu yang tinggal sendirian pada awalnya gagal untuk keluar atas sebab kesihatan sebelum diselamatkan oleh jiran yang menyedari kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Subri Hussin berkata, tiga jentera bersama 13 anggota termasuk bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.18 tengah malam.

“Setibanya di tempat kejadian, api mula marak membakar sebahagian rumah kayu terbabit. Anggota memulakan tindakan awal mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Wanita itu pula diberikan pertolongan kecemasan oleh Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan (EMRS) selepas mengadu mengalami kesesakan nafas akibat panik dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, dia terdengar letupan kecil berlaku di bahagian dapur sebelum api menyambar ke seluruh bahagian rumah.

“Anggota telah bertindak membuat pemadaman menggunakan aliran air dari tiga jentera tangki sehingga selesai.

“Kejadian itu telah memusnahkan 80 peratus rumah terbabit. Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat oleh Forensik Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri,” katanya.