IPOH – Seorang warga emas cedera ringan dikepala ketika cuba menyelamatkan diri dengan terjun dari ketinggian dua meter selepas salah sebuah tangki ‘boiler’ yang diperiksanya tiba-tiba terbakar di sebuah kilang besi di Menghala Perusahaan Menglembu 6, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Zainasrie Zainal berkata, mangsa, Hussein Atan, 60 itu dikenakan lima jahitan selepas dipercayai terhantuk ketika menyelamatkan diri dari disambar api.

Menurutnya, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan dari pekerja kilang terbabit pada jam 7.58 pagi.

“Tibanya di kawasan kejadian, tiga tangki ‘boiler’ hampir musnah dan kebakaran berjaya dikawal dalam 10 minit. Punca kejadian masih lagi disiasat.

“Pada masa sama, lelaki terbabit telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Buntong oleh pekerja kilang terbabit untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dibantu tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai telah berjaya memadam kebakaran rumah kayu di Kampung Tawas di sini.

Ketua Operasi, Omar Abd Rahman berkata, rumah tanpa penghuni terbabit disedari terbakar oleh pemilik rumah kedai berhampiran setelah melihat asap berkepul-kepul keluar dari rumah terbabit sebelum menghubungi Bomba pada jam 12.14 tengahari.

Setibanya di tempat kejadian rumah kayu berkenaan hangus sepenuhnya dan api berjaya dikawal kira-kira lima minit bagi mengelak ia merebak ke kawasan hutan berhampiran berikutan rumah terbabit berada di dalam kawasan semak.

“Bagaimanapun, kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa kerana ia merupakan rumah kosong yang ditinggalkan pemilik beberapa bulan lalu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Sebuah asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran, Kampung Bukit Lanchong, di sini musnah kira-kira 20 peratus dalam insiden kebakaran malam tadi.
  • SUNGAI TENGI - Kebakaran melibatkan longgokan sisa tandan kelapa sawit di Kilang Sawit Sungai Tengi yang berlarutan sejak dua hari berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya, semalam.
  • TAWAU - Akibat mencederakan seorang wanita warga emas menggunakan senjata tajam pada Ahad lepas, seorang lelaki ditahan polis di sebuah bangunan di Jalan Kastam Lama di sini, petang semalam.
  • KUANG - Seorang warga emas lega apabila impian memiliki rumah sendiri tercapai melalui Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
  • YAN - "Mak cik nampak muka orang yang tarik rantai mak cik tapi bila merayu suruh bagi balik rantai tu dia terus lari keluar rumah," demikian luahan mangsa kes curi rantai leher Aishah Abdullah, 74, ketika ditemui.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.