IPOH – Seorang warga emas ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) , awal pagi semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 56 tahun berasal dari Ipoh Garden East itu terjatuh dari tingkat yang menempatkan dewan pembedahan sebelum ditemui terbaring oleh pekerja hospital dengan kesan darah dan luka di beberapa bahagian badan berhampiran taman.
Mangsa merupakan pesakit luar dan pernah beberapa kali mendapat rawatan kemudian dibawa ke wad kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.20 pagi.
Usaha wartawan mendapatkan maklum balas daripada ahli keluarga mangsa tidak berjaya selepas ahli keluarga enggan memberi sebarang kenyataan mengenai insiden itu. Difahamkan mangsa merupakan seorang peniaga dan mempunyai dua orang anak.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati mangsa menghidap penyakit kanser hidung meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan dalaman dan luka di beberapa bahagian badan.
“Berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa mengalami cedera teruk terutama beberapa tulang bahagian dada serta kedua-dua pehanya patah,” katanya.




