IPOH –  Polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian wanita bergaduh di kawasan parkir Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang videonya tular di media sosial, sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, laporan diterima, kelmarin dan polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian.

“Kita ada terima laporan dan siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.

Menerusi rakaman video berdurasi 41 saat  itu, seorang wanita  menjerit serta menyepak seorang wanita lain yang puncanya tidak diketahui.

Menurut saksi, kekecohan itu berlaku akibat seorang wanita tidak puas hati kenderaannya kemek oleh seorang wanita lain sehingga menimbulkan pertelingkahan.

Wanita berkenaan terus-terusan menjerit malah tidak mengendahkan orang awam yang berada di kawasan itu yang melihat dan merakam aksinya, pada masa sama ada antara mereka yang cuba menenangkannya.

Keadaan makin tegang apabila wanita itu cuba menyepak wanita yang dilihat terduduk di lantai parkir namun tidak berjaya selepas dihalang seorang lelaki.

Wanita itu turut mencabar agar melaporkan kejadian itu kepada polis kerana dia tidak mengenali wanita berkenaan.

“Kalau nak panggil polis, panggil la, saya tidak kenal dia,” katanya dalam rakaman pendek itu.