TAIPING - Setiap pengusaha tadika atau taska di Perak diwajibkan menjalankan saringan kesihatan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka setiap hari sebelum dibenarkan memasuki premis asuhan masing-masing.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri, Dr K B Venugopalan berkata, gesaan itu dikemukakan pihaknya bagi memastikan langkah pencegahan penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Perak mengesahkan kes HFMD yang semakin serius di Pulau Pinang, kini menular ke negeri itu dengan kes penyakit itu menunjukkan tren peningkatan sejak beberapa bulan lalu.

“Dari pihak kami, Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengadakan banyak sesi taklimat berhubung kaedah pencegahan penyakit HFMD bersama pengusaha tadika, taska dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang masa.

“Melalui taklimat itu, kita mengajar setiap pengusaha mengenai kaedah menyaring kesihatan kanak-kanak diasuh yang datang ke pusat asuhan itu setiap hari.

“Jika nampak demam, ruam dan sebagainya, mereka harus tidak membenarkan kemasukan kanak-kanak terlibat ke pusat asuhan mereka, meskipun tidak mempunyai penyakit HFMD,” katanya sewaktu ditemui media pada program Seminar Hentikan Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga Peringkat Negeri anjuran Jabatan Kesihatan Perak di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, di sini hari ini.

Venugopalan sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Seminar Hentikan Penderaan Kanak-Kanak dan Keganasan Rumah Tangga Peringkat Negeri anjuran Jabatan Kesihatan Perak di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, di sini.

Venugopalan berkata, kesemua ibu bapa perlu menyedari tadika atau taska bukan sebuah ‘mini hospital’, di mana mereka sesuka hati membuat keputusan menghantar anak mereka ke pusat jagaan itu meskipun berkeadaan sakit.

Menurutnya, ibu bapa perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan bukan sahaja terhadap anak-anak mereka, tetapi perlu mengambil kira anak-anak orang lain.

“Ibu bapa mesti sentiasa memastikan bila anak sakit, walaupun nampak boleh makan dan sebagainya, jangan hantar anak mereka itu ke tadika dan taska.

“Kanak-kanak itu mesti di kuarantin di rumah dan dijaga rapi serta tidak dibawa berjalan-jalan ke pusat beli-belah atau sebarang tempat keramaian bagi mengelakkan penularan penyakit dihadapi anak mereka,” katanya.

Venugopalan turut menegaskan penyakit HFMD adalah lebih serius kepada kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dan merebak lebih cepat melalui manusia ke manusia, sama ada melalui sentuhan dan air liur.

“Kaedah paling penting menghalang transmisi penyakit ini adalah dengan memastikan kanak-kanak yang mengalami simptom ini tidak menjangkiti orang lain,” katanya.