IPOH – Venue pertandingan melibatkan sukan air bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 akan dipantau ketat bagi mengelak sebarang risiko berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku bermula semalam hingga Khamis ini.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Zairil Anuar Zulmuji berkata, fenomena berkenaan diramal berlaku di lima daerah iaitu Hilir Perak, Bagan Datuk, Manjung, Larut Matang Selama dan Kerian.

Menurutnya, setakat ini keadaan terkawal dan belum ada sebarang kejadian seperti limpahan air laut atau banjir berlaku di semua kawasan terbabit.

“Kita mengharapkan fenomena air pasang besar kali ini tidak terlalu ekstrem hingga memberi risiko kepada penduduk juga lokasi sedang berlangsungnya Sukma.

“Pemantauan dimulakan malam semalam, kita meletakkan 950 anggota pada situasi siap siaga selain bertugas sebagai petugas perubatan dan anggota APM yang turut terlibat di venue Sukma memainkan peranan sebagai anggota penyelamat sekiranya berlaku bencana,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Air pasang besar di Perak bermula pada 9 September dan dijangka tamat pada 13 September, fenomena sama diramal melanda semula pada 21 hingga 28 September.

Acara sukan air iaitu pelayaran bagi Sukma 2018 kali ini dijadualkan berlangsung di daerah Manjung bermula 15 hingga 20 September ini.

Zairil Anuar berkata, pihaknya melakukan hebahan amaran berjaga-jaga kepada penduduk di lima daerah itu melalui pelbagai medium antaranya notis, aplikasi Whatsapp dan pengumuman di masjid dan surau

“Kita minta penduduk dan mereka yang terlibat sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk dipindahkan sekiranya berlaku banjir.

“Semua aset jabatan seperti kenderaan pacuan empat roda, trak, ambulans dan bot boleh digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.