BUKIT GANTANG - Kerajaan Harapan digesa tidak lagi menangguhkan pemberian peruntukan khas sebanyak RM1 juta bagi keperluan pembangunan infrastruktur asas melibatkan 33 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal berkata, peruntukan khas itu sebenarnya sudah diluluskan kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran BN pada awal tahun ini, namun penyalurannya ditangguhkan kerajaan baharu Harapan sehingga satu tempoh tidak dimaklumkan.

Menurutnya, penyaluran segera peruntukan dana itu amat penting memandangkan sebahagian besar SAR di Parlimen Bukit Gantang tidak mempunyai kemudahan infrastruktur memuaskan di samping berdepan masalah kekurangan dana.

"Sebagai sebuah kerajaan baru menjanjikan keadilan kepada rakyat negara ini, saya menggesa kerajaan Harapan menyegerakan penyerahan peruntukan khas yang sudah pun diluluskan kerajaan BN terdahulu demi kepentingan pembangunan SAR di Bukit Gantang.

"Ingin ditekankan peruntukan RM1juta itu bukan habuan politik, sebaliknya disalurkan sepenuhnya demi membantu meringankan sebahagian besar operasi pengurusan SAR di sini yang sememangnya berdepan masalah kekurangan dana," katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan zakat di bawah Yayasan Al Fasal kepada 33 SAR di seluruh Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.

Turut hadir Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Syed Abu Hussin yang merupakan Ahli Parlimen Bebas berkata, bagi membantu meringankan beban SAR, pihaknya melalui Yayasan Al Fasal memperuntukkan sebanyak RM60,332 bagi melunaskan yuran tertunggak dan bantuan per kapita untuk 33 SAR kawasan Parlimen Bukit Gantang tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, nilai RM38,032 membabitkan yuran manakala bantuan per kapita pentadbiran membabitkan RM22,460 untuk 4,460 murid.

Katanya, bantuan daripada wang zakat yayasan itu bertujuan membantu meringankan beban yuran murid dan pentadbiran SAR walaupun bantuan per kapita dari kerajaan negeri tidak mencukupi.

"SAR tidak mempunyai peruntukan dan saya bertekad membantu sekolah-sekolah tersebut bagi menunaikan sebahagian janji dalam manifesto PRU14.

"Saya juga akan mengeluarkan yuran untuk anak-anak asnaf sebanyak RM69,316 tahun ini bagi bulan September dan Oktober tahun ini.

"Inisiatif ini juga kesinambungan daripada usaha tahun lepas yayasan yang mengeluarkan bantuan kepada 1,565 asnaf membabitkan peruntukan sebanyak RM313,000," katanya.

Selain itu, Syed Abu Husin turut menggesa kerajaan Harapan meneruskan segera projek pembaikan Masjid Pengkalan Aur bernilai RM1.4 juta, Masjid Kuala Sepetang (RM1.6 juta) dan Dewan Baru Parlimen Bukit Gantang (RM2 juta).

Menurutnya, kebanyakan tender projek infrastruktur rakyat itu sudah dikeluarkan dan ditangguhkan setelah kerajaan PH mengambil alih pentadbiran negara.