IPOH - Masa depan pelajar dan pusat latihan kemahiran yang terlibat dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin terancam apabila pelbagai masalah serius membabitkan beberapa isu dalam pelaksanaannya di negara ini.

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Nordin Abdul Malek berkata, pihaknya mendesak agar pertemuan diadakan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pihak-pihak berkepentingan yang terlibat mengendalikan TVET di peringkat awam dan swasta bagi mendengar sendiri masalah sebenar berlaku kerana ia kini ibarat kanser yang sedang merebak.

Menurutnya, situasi sebenar yang berlaku amat bercanggah dengan aspirasi serta pengumuman kerajaan kononnya mahu menjadikan TVET sebagai inisiatif untuk melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi dan sekaligus berpendapatan tinggi.

Jelas beliau, terdapat pelbagai isu besar yang merosakkan pelaksanaan TVET untuk mencapai matlamat asalnya dan pada tahun lalu sahaja tidak kurang dari tujuh isu timbul berkaitan TVET ini.

"Pada awal tahun 2017, timbul isu pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkaitan akreditasi Diploma Vokasional Malaysia, Kementerian Pendidikan. Pada Februari dan Mac, kecoh pula isu pusat pentauliahan swasta Jabatan Pembangunan Kemahiran seluruh negara berdepan kekurangan kuota pinjaman pelatih menyebabkan pusat-pusat pentauliahan mengalami kerugian.

"Pertengahan tahun 2017, pengambilan pelatih bagi pusat latihan awam pula berdepan dengan masalah tiada peruntukan sehingga ada institut latihan yang hanya diperuntukkan 10 peratus sahaja berbanding pengambilan tahun 2016," katanya menerusi satu kenyataan media kepada Sinar Harian, hari ini.

Nordin berkata, pada bulan September tahun lalu juga, negara dikejutkan dengan penahanan beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki menyalahgunakan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bernilai RM40 juta.

Katanya, tidak cukup dengan itu pada penghujung tahun 2017, timbul isu sekolah-sekolah harian yang menjalankan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) gagal ditauliahkan sekaligus bakal menyaksikan hampir 6,000 pelajar yang mengikuti latihan selama dua tahun dijangka berdepan masalah pentauliahan dan pensijlian.

Katanya, situasi tersebut sekaligus menimbulkan rasa kurang senang pengetua-pengetua yang terlibat untuk berhadapan dengan ibu bapa.

Beliau berkata, pelaksanaan TVET di negara ini dilihat semakin bermasalah apabila awal tahun 2018 timbul pula isu baharu antaranya penghijrahan tenaga TVET di politeknik akibat skim yang tidak selaras dan berbaloi yang dikhuatiri menjejaskan kualiti graduan politeknik.

Selain itu menurut Nordin, pada 15 Januari lalu, satu pekeliling daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia menyatakan tentang kuota pinjaman 2018 kepada semua pusat-pusat bertauliah swasta ditangguhkan.

"Tindakan ini memberi kesan kepada pengambilan pelajar oleh pusat-pusat bertauliah ini yang turut terkesan sebelum ini dengan pelbagai masalah seperti kelewatan bayaran pinjaman, Skim Dual Nasional dan pengendalian B40.

"GILKSB merumuskan bahawa, kesemua isu di atas adalah bercanggah sama sekali dengan pelbagai pengumuman prestasi TVET sama ada melibatkan urusan bajet, mahupun pencapaian keberhasilan TVET. Malah dalam kes-kes tertentu, didapati ‘outcome’ TVET adalah semakin lemah," katanya.

Nordin berkata, sudah tiba masanya pucuk pimpinan negara seperti perdana menteri dan timbalan perdana menteri mempunyai maklumat dan memahami masalah sebenar yang sedang melanda program teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia pada ketika ini.