IPOH - Kira-kira 100 pemegang taruh Pekan Lama Ipoh di sini menyerahkan  memorandum bagi menentang pemindahan nisbah plot dan ketinggian bangunan di sebidang plot di kawasan itu yang telah diwartakan Majlis Bandaraya Ipoh di dalam Draf Rancangan Kawasan Khas Pekan Ipoh-Bandar Warisan Bijih Timah 2020 (RKK).

Memorandum telah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing yang mewakili kerajaan negeri antara lain merayu agar mempertimbangkan beberapa kebimbangan yang timbul jika permohonan meminda nisbah plot seluas kira-kira 0.157 hektar di Jalan Sultan Idris itu diluluskan.

Jurucakap pemegang taruh Lim Yi Wen berkata, berdasarkan RKK, ketinggian bangunan di kawasan Pekan Lama Ipoh hanya terhad kepada lima tingkat sahaja dengan nisbah plot yang telah diwartakan 1:3.5.

“Oleh itu, apa-apa perubahan kepada bangunan sedia ada dan pembinaan bangunan 'infill' dalam Zon Teras tidak boleh melebihi daripada lima tingkat.

"Bagaimanapun, kami difahamkan, pihak pemaju P.K Lee Sdn. Bhd memohon untuk meminda nisbah plot berkenaan kepada 1:6.0 dengan tujuan membina sebuah hotel 14 tingkat dengan ruang bawah tanah di atas plot," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Lim lagi, sekiranya pemindahan nisbah plot itu diluluskan, ia akan menetapkan pendahuluan untuk pembinaan lebih banyak bangunan yang melebihi had ketinggian lima tingkat di dalam Zon Teras yang bertentangan dengan garis panduan seperti ditetapkan dalam RKK.

"Oleh itu kami mendesak agar Penilaian Impak Warisan (HIA) yang menyeluruh dilaksanakan seperti yang dinyatakan dalam RKK dan ia mesti dijalankan oleh profesional yang berkelayakan termasuk dalam bidang seni bina dan pemuliharaan warisan.

"Ingin dijelaskan bahawa kami tidak menentang pembangunan di Ipoh tetapi berharap kerajaan negeri akan mengambil pendekatan holistik bagi memastikan fabrik dan warisan budaya Pekan Lama Ipoh terus dipelihara," katanya.   

Sementara itu, Tan berkata memorandum tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Exco esok namun enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

"Sebagai wakil kepada menteri besar saya tidak boleh memberi komen lanjut namun berdasarkan Draf RKK ia matlamatnya adalah mentransformasikan pekan Ipoh kepada bandar warisan Bijih Timah negara yang progresif dan berdaya huni.

"...berkepelbagaian budaya, unik, menarik dengan dijana oleh kemajuan ekonomi bandar yang mampan di dalam lingkungan budaya dan persekitaran semulajadi yang terlihara," katanya.  - Bernama