IPOH - Tindakan pantas anggota penyelamat (lifeguard) berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan daripada lemas ketika bermain di sebuah kolam di taman tema, Bukit Merah Laketown Resort, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, kanak-kanak berusia lima tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan terkapai-kapai di permukaan kolam sebelum disedari seorang daripada anggota penyelamat yang berada di kawasan itu.

Ketua Operasi Kumpulan Resort, Mohamad Mukhriz Mohamad Roslan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan.

Menurutnya, sewaktu kejadian berlaku, penyelamat telah terlihat seorang kanak-kanak sedang terkapai-kapai di atas permukaan air kolam.

"Dengan serta merta, dia terus menyelamatkan kanak-kanak itu," katanya.

Insiden melibatkan kanak-kanak itu mula tular dilaman sosial Facebook, hari ini.

Dalam video berdurasi 41 saat itu, kelihatan seorang lelaki dipercayai anggota penyelamat dan seorang wanita dikatakan doktor sedaya upaya cuba memberikan bantuan pernafasan kepada seorang kanak-kanak lemas akibat mandi dalam kolam.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kanak-kanak itu bersama keluarga mengunjungi taman tema air, Bukit Merah Laketown Resort.

Hasil perkongsian di laman sosial Facebook, rata-rata pelayar memuji kesungguhan dua individu terbabit hingga berjaya menyelamatkan satu nyawa.

Malah, bantuan diberikan doktor wanita berbangsa India itu disifatkan sebagai contoh dalam menerapkan nilai insan tanpa mengenal agama dan bangsa.

Mohamad Mukhriz berkata, pihak resort sentiasa mengutamakan keselamatan pengunjung dengan memastikan ahli-ahli penyelamat berada di lokasi sekitar ketika taman tema beroperasi.

Katanya, ia merupakan piawaian syarikat yang perlu dipatuhi oleh semua penyelamat taman tema air.

"Meraka sentiasa diberi latihan dikendalikan oleh  pihak bertauliah untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

"Pengunjung juga harus mengikut garis panduan  ditetapkan dan mematuhi arahan penyelamat sewaktu berada di dalam taman tema air," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.