IPOH - Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan permohonan pemaju untuk mengubah Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pekan Ipoh - Bandar Warisan Bijih Timah 2020 bagi membina sebuah hotel setinggi 14 tingkat.

Kurator 22 Hale Street, Lim Yi Wen berkata, bantahan itu membabitkan pindaan nisbah plot dan ketinggian bangunan di kawasan seluas 0.16 hektar yang dikelilingi bangunan warisan berusia lebih 100 tahun.

"Plot ini terletak di zon teras yang diwartakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mana ketinggian bangunan di kawasan ini hanya terhad kepada lima tingkat sahaja dengan nisbah plot diwartakan 1:3.5.

"Bagaimanapun, pihak pemaju memohon meminda nisbah kepada 1:6.0 yang bertujuan untuk membina hotel 14 tingkat dengan ruang bawah tanah di atas plot terletak di Jalan Sultan Idris Shah ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Lebih 500 tandatangan berjaya diperolehi dan memorandum bantahan itu diserahkan kepada Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing.

Hadir sama Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen.

Menurutnya, bangunan baharu yang hendak dibina perlulah sesuai dan tidak mengambil alih latar kawasan Pekan Lama Ipoh yang merupakan tapak warisan dunia.

"Kebanyakan bangunan warisan hanya dibina sekadar batu bata sahaja. Sekiranya pembinaan hotel diteruskan, ia menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan lain selain impak kepada pelancongan dengan bunyi, visual serta aliran trafik selain bersempadan dengan Sungai Kinta.

"Sekiranya pindaan itu diluluskan, RKK yang dijadikan panduan menjadi dokumen yang tidak berkesan terhadap pembangunan seterusnya di kawasan yang diwartakan," katanya.

Yi Wen berkata, pihaknya mendesak agar Penilaian Impak Warisan dilaksanakan secara menyeluruh seperti yang dinyatakan dalam RKK berkenaan.

"Ia mesti dijalankan oleh profesional yang berkelayakan dalam senibina selain mempunyai kepakaran dalam pemuliharaan warisan.

"Diharapkan kerajaan negeri mengambil pendekatan holistik terhadap pembangunan itu dengan mempertimbangkan pemuliharaan bandar agar warisan budaya Pekan Lama Ipoh terus dipelihara," katanya.