TELUK INTAN - Tiga langkah utama akan diambil untuk tempoh jangka masa pendek bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di beberapa kawasan sekitar pekan Teluk Intan.

Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu berkata, langkah berkenaan bagi memastikan masalah tersebut dapat di atasi segera sebelum berbincang dengan pihak terlibat untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang.

“Lanjutan daripada banjir kilat di beberapa kawasan di pekan Teluk Intan, Isnin lalu, pihak kami telah melawat dan melakukan pemantauan di kawasan yang agak serius dengan masalah banjir kilat ini.

“Saya juga telah adakan perjumpaan segera dengan agensi dan jabatan terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bagi mendapat penjelasan dan mencari penyelesaian bersama,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat DAP Teluk Intan, pagi semalam.

Menurut Terence tiga langkah utama yang akan diambil adalah melakukan pembersihan di parit-parit yang tersumbat dan penuh dengan sampah bersama ketiga-tiga agensi dan jabatan terlibat bagi memastikan air dapat keluar terus ke sungai jika berlaku hujan lebat.

“Hasil perjumpaan saya dengan agensi terlibat mendapati sebab utama berlakunya banjir kilat adalah kerana paras air sungai tinggi ekoran air pasang dan ditambah dengan hujan lebat lalu air bertakung dan tidak dapat keluar.

“Jadi jabatan dan agensi ini memaklumkan mereka akan segera membersihkan sampah di dalam saluran keluar utama untuk air ini mengalir ke sungai,” katanya.

Tambahnya langkah kedua adalah pihak JPS memaklumkan akan menggunakan pam untuk mengepam keluar air bila berlaku banjir kilat bagi memastikan kawasan dinaiki air selepas hujan lebat dapat disurutkan.

“Langkah ketiga adalah kerjasama daripada orang ramai agar tidak membuang sampah ke dalam longkang atau parit yang menyebabkan laluan air tersumbat dan masalah ini turut menyebabkan banjir kilat.

“Adalah menjadi hasrat semua termasuk saya mahu melihat Teluk Intan menjadi kawasan yang bersih dari persekitaran dan bandar mesra alam dengan pelbagai penambahbaikkan akan dilakukan,” katanya.