IPOH - Tiada perubahan besar dilakukan terhadap Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) Perak 2040 namun memberi fokus beberapa perkara selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan pusat dan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. bagi memperhalusi draf berkenaan, tiga elemen teras diberi perhatian iaitu perancangan mestilah berdasarkan kos yang efektif supaya setiap ringgit yang dibelanjakan mencapai nilai optimum tanpa ada elemen pembaziran dan ketirisan.

“Hanya melibatkan perubahan kecil sahaja, kita tidak membatalkan semua yang ada dalam draf sebelum ini, tetapi tentunya ada beberapa perkara yang perlu diberi fokus dan penekanan.

“Empat sektor utama dalam hala tuju perancangan 2040 ini adalah pelancongan, pertanian, pembuatan dan pengangkutan,” katanya ketika ditemui pada program Retreat Draf Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 (Kajian Semula), hari ini.

Menurutnya, perancangan yang diputuskan kelak akan menjadi wadah dalam memacu iltizam pentadbiran ini dalam memenuhi harapan rakyat untuk mengembalikan kegemilangan negeri Perak.

“Draf perancangan mestilah berpaksikan kepada prinsip 'people-centric' untuk memastikan apa kita usahakan benar-benar memberi manfaat kepada setiap rakyat keseluruhannya.

“Draf rancangan yang disediakan lebih awal oleh pentadbiran terdahulu itu hanya memerlukan melainkan beberapa penambahbaikan selari matlamat membawa Perak maju lebih cepat ke arah 2040,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, DRSN disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) bagi menerangkan dasar dan cadangan-cadangan am kerajaan negeri Perak mengenai pemajuan dan penggunaan tanah dalam Negeri Perak hingga tahun 2040.  

“Sepanjang Program Publisiti dan Bantahan Awam diadakan, PLANMalaysia@Perak menerima 28 borang bantahan daripada individu dan pertubuhan yang berkepentingan di negeri ini.

“Setiap bantahan yang diterima perlu diperdengarkan dalam Jawatankuasa Bantahan dan Pendengaran Awam sebelum diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri dan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN),” katanya.

Sementara itu, program retreat selama dua hari itu dianjurkan bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai DRSN Perak dan melihat semula perancangan sedia ada jika terdapat keperluan berbuat demikian.