IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) boleh menggunakan pendekatan undang-undang sekiranya tidak bersetuju dengan langkah kerajaan negeri dalam menangani pemberian hak milik kekal tanah.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan sedemikian boleh diambil oleh mana-mana pihak tanpa halangan daripada kerajaan negeri.

"Saya tidak ada masalah dengan perkara itu, mereka boleh ambil tindakan sedemikian dan biar mahkamah yang putuskan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam sidang media, semalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyatakan kesediaan membawa  polemik pemberian hak milik kekal tanah seperti yang termaktub dalam manifesto Harapan Perak ke mahkamah untuk mendapatkan justifikasi bahawa ia tidak sah di sisi undang-undang jika diteruskan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dalam bengkel khas seperti dicadangkan kerajaan negeri sebelum ini.

"Dalam Mesyuarat Exco juga kita telah bangkitkan dan kita sedang mendapatkan tarikh sesuai untuk memulakan bengkel," katanya.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun ke Pejabat Menteri Besar Perak sempena lawatan dua hari kementerian itu ke negeri ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hak milik kekal rugikan negeri]