SERI MANJUNG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menahan sakit selama 30 minit selepas empat jarinya tersepit pada pintu bilik dalam kejadian di sebuah rumah di Manjung Point di sini, hari ini.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa bermain di pintu bilik tidur sebelum jeritannya didengari oleh kedua ibu bapanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Abdul Rahman Mat berkata, sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.47 petang.

“Bapa mangsa cuba mengeluarkan jari anaknya namun gagal sebelum membuat keputusan menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

“Anggota tiba kemudian berjaya mengeluarkan jari-jari mangsa dengan merenggangkan pintu tersebut dengan peralatan khas,” katanya.

Menurutnya, jari mangsa hanya mengalami sedikit bengkak kerana tersepit dalam tempoh lama.

“Rawatan awal diberikan dan kanak-kanak terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapanya. Operasi tamat kira-kira jam 4.08 petang,” katanya.