TELUK INTAN - Menderma seikhlas hati walaupun hanya berjumlah satu sen sudah cukup membuktikan pelajar-pelajar sekolah berusaha untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan.

Apa yang penting bukanlah nilai derma yang diberi tetapi keikhlasan serta niat untuk menderma itu sudah cukup memadai dalam memupuk golongan pelapis masa hadapan ini.

Inilah suasana yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sagor, Langkap, apabila melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Rohingya 2017 dalam usaha menyokong usaha Sinar Harian membantu warga Rohingya melalui kempen Sinar4Rohingya.

Bagi Pengetua SMK Dato Sagor, Khairul Anuar Shahaluddin, dia berasa amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh guru-guru, pelajar serta kakitangan sekolah dan sokongan yang sama menderma.

"Alhamdulillah tabung yang dilancarkan pada 15 September lalu semasa Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan, peringkat sekolah dan berakhir pada hari terakhir persekolahan 24 November lalu berjaya mengutip RM1,000.

"Apa yang membuatkan saya terharu adalah apabila terdapat wang syiling satu sen yang turut disumbangkan dalam tabung berkenaan kerana ia menunjukkan kesungguhan pelajar untuk turut serta menderma," katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian, di pejabatnya hari ini.

Tambahnya, selepas dikira wang yang berjaya dikumpul sepanjang kutipan dilakukan berjumlah RM999.99 dan terdapat beberapa keping syiling satu sen.

"Kami sepakat untuk menggenapkan jumlah berkenaan kepada RM1,000 dan Alhamdulillah itulah jumlah yang berjaya dikumpul warga SMK Dato Sagor dalam membantu meringankan beban masyarakat Rohingya.

"Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak sama-sama dapat membantu Sinar Harian dalam mengumpul sumbangan bagi masyarakat Rohingya yang ditindas," katanya.

Khairul Anuar berkata, sebelum ini pihak sekolah sering melakukan kutipan wang derma setiap hari jumaat di mana tabung derma akan diletakkan di satu sudut bagi memupuk sifat menderma kalangan pelajar.

"Hasil daripada wang tabung berkenaan kami akan gunakan untuk membantu pelajar yang ditimpa musibah seperti kemalangan, kematian dan lain-lain lagi.

"Ia lebih kepada tabung kemanusiaan kerana di sekolah ini terdapat pelajar daripada pelbagai kaum seramai 878 orang bermula dari tingkatan satu, peralihan hingga tingkatan lima dan juga pendidikan khas," katanya.

Tambahnya, kutipan yang dijalankan sekolah setiap Jumaat ini sedikit sebanyak menunjukkan hasil apabila mereka tidak kedekut untuk menderma membantu golongan yang memerlukan.