BAGAN SERAI - Seorang ibu tergamam apabila menerima cek berjumlah RM25,197 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berikutan kematian anaknya dalam kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur 10 tahun lalu.

Bibi Fatimah Fathil Shah, 68, dari Kampung Kalompang di sini, menerima cek tersebut berikutan kematian anak keduanya, Abd Razak Abu Bakar, 39, yang terlibat dalam kemalangan pada 13 Disember 2008.

“Makcik terkejut dan bersyukur kepada ALLAH dengan rezeki ini. Cek berjumlah RM 23,697 serta wang khairat kematian bernilai RM1,500 yang disampaikan Perkeso ini akan makcik gunakan untuk meneruskan kehidupan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menerima cek berkenaan yang disampaikan Pengurus Perkeso Taiping, K.Maghesun hari ini.

Bibi Fatimah berkata, dia langsung tidak mengetahui arwah anaknya pernah mencarum dan hanya mendapat tahu perkara itu melalui seorang anak saudara yang berkunjung ke rumahnya pada pertengahan Ogos lalu.

“Apabila saya membuat pemeriksaan di pejabat Perkeso di Taiping, arwah anak saya layak menerima pampasan itu, namun makcik tidak tahu jumlahnya sehinggalah mereka (Perkeso) datang hari ini," katanya.

Bibi Fatimah berkata, arwah anaknya itu belum berkahwin dan berkerja di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur sebelum terlibat kemalangan.

“Walaupun arwah sudah tiada, namun dia masih berjasa dan dapat membantu keluarga melalui pencen bulanan seumur hidup berjumlah RM197.20 yang bakal kami terima selepas ini,” katanya. - Bernama