• Penduduk, Ahmad Baharom (dua, kanan) bersama Ahmad Nor (kanan) menunjukkan kolam air di puncak bukit yang dikatakan tidak selamat. Penduduk, Ahmad Baharom (dua, kanan) bersama Ahmad Nor (kanan) menunjukkan kolam air di puncak bukit yang dikatakan tidak selamat.
1 /

TELUK INTAN - Tempoh dua tahun sudah cukup lama buat penduduk Kampung Baru, Batu 9, Changkat Jong, di sini, menunggu hasil laporan mengenai tahap keselamatan struktur kolam tadahan air di puncak bukit kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Ahmad Nor Selamat berkata, pada 2011, Exco Kerajaan yang bertanggungjawab ketika itu telah meninjau ke kawasan kolam tadahan tersebut.

Menurutnya, exco berkenaan berjanji akan memaklumkan kepada penduduk mengenai status keselamatan kolam tadahan selepas membuat pemeriksaan lanjut dengan konsultan yang dilantik Lembaga Air Perak (LAP).

"Malangnya, sehingga kini, penduduk masih tidak mendapat maklum balas daripada LAP hasil daripada pemantauan konsultan yang dilantik oleh mereka.

"Sebarang laporan mengenai tahap keselamatan kolam tadahan ini juga kami tidak terima walaupun exco berkenaan pernah berjanji akan memaklumkan hasil pemantauan ini," katanya.

Sinar Harian difahamkan lawatan kerja yang dilakukan exco bertanggungjawab sebelum ini bersama pegawai kanan LAP pada 2011 itu adalah atas permintaan JKKK kerana bimbang berlaku perkara buruk jika tiada tindakan segera.

Ahmad Nor berkata, kini penduduk yang mendirikan rumah di lereng bukit  berada dalam kebimbangan kerana sering berlaku tanah runtuh apabila hujan lebat melanda.

"Justeru, kami memohon pihak berkaitan memantau keadaan ini seterusnya memaklumkan kepada penduduk laporan lengkap tahap keselamatan kolam tadahan ini," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut memohon Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin memberikan perhatian serius berkenaan masalah itu.

“Kami berharap beliau sudi datang melihat secara dekat kedudukan loji sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Zainol Fadzi ketika diberitahu mengenai kebimbangan penduduk akan membuat lawatan ke kolam tadahan air setelah mendapat laporan lengkap daripada LAP.

“Insya-ALLAH, saya akan melawat ke kolam tadahan air itu dalam masa terdekat selepas mendapat maklum balas daripada LAP,” katanya.