PARIT BUNTAR - Suasana sedih dan pilu menyelubungi majlis pengebumian jenazah kanak-kanak berusia tujuh tahuh, Nur Rabiatul Adawiyah Md Yusof setelah tiba di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Sungai Burung, di sini petang tadi.

Jenazah Nur Rabiatul Adawiyah meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, awal pagi tadi setelah lemas dalam taman tema air, Ahad lalu.

Lebih 100 ahli keluarga, sahabat dan orang ramai hadir memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah Nur Rabiatul Adawiyah yang juga merupakan seorang kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) disembahyangkan di Masjid Sungai Burung pada jam 2 petang kemudiannya dikebumikan pada jam 3.05 petang.

[ARTIKEL BERKAITAN: FB live terakhir sebelum anak lemas ]

Sementara itu, Ibu mangsa, Nor Masitah Mohd Ishak,28, mengakui hanya rakaman video telatah arwah anak tunggalnya itu yang disimpan dalam telefon pintar mampu mengubati duka kerinduan terhadap Nur Rabiatul Adawiyah.

Menurutnya, sebagai anak tunggal, telatah arwah Nur Rabiatul Adawiyah yang pandai bergaya di hadapan telefon pintar miliknya dan suami sentiasa terbayang-bayang dalam fikirannya ketika ini.

"Telatah anak tunggal saya yang pandai bergaya di hadapan telefon pintar, membuatkan saya dan suami, Md Yusop Che Yon,43, pasti tidak dapat melupakannya sampai bila-bila.

"Gambar dan video rakaman telatah arwah pasti saya akan simpan kerana hanya itulah pengubat rindu kami kepadanya," katanya di lokasi pengebumian jenazah allahyarham Nur Rabiatul Adawiyah di Kampung Parit Sungai Burung, Tanjung Piandang di sini hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: MDK gantung lesen Pesta Zoo Belon ]

Sementara itu, Md Yusop berkata, anak tunggalnya itu merupakan seorang kanak-kanak OKU dalam pembelajaran dan merupakan murid pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan(SK) Tanjung Piandang.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah Nur Rabiatul Adawiyah dan yakin anaknya itu pergi dengan tenang.

"Dari saat jenazah Nur Rabiatul Adawiyah dibawa balik dari hospital hingga proses dikafankan, saya agak takjub melihat wajahnya berada dalam keadaan tersenyum.

"Kami sekeluarga reda meskipun masih bersedih dan yakin arwah akan ditempatkan di syurga, insya-ALLAH," katanya.