CHEMOR - Satu ketika dahulu, kawasan Tanah Hitam di Chemor, cukup dikenali di seluruh negara kerana tersenarai sebagai antara ‘kawasan hitam’ di Malaysia.

Untuk rekod, ‘kawasan hitam’ yang dimaksudkan adalah merujuk kepada kekerapan operasi yang dijalankan oleh  tentera dan polis bagi memburu pengganas komunis di kawasan berkenaan.

Difahamkan, mulai sekitar 50-an, kawasan sekitar seperti Chemor dan Sungai Siput telah pun dilabel sebagai ‘kawasan hitam’ berikutan pengganas komunis menjadikan ladang-ladang getah serta kawasan berbukit di situ sebagai tempat ‘persembunyian’ mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya, beberapa pos kawalan tentera telah ditempatkan di jalan-jalan memasuki kawasan berkenaan, terutamanya jalan keluar masuk ke Ulu Chemor, bagi mengesan pergerakan pengganas komunis.

Tidak cukup dengan itu, penduduk di sekitar kawasan berkenaan seringkali dikenakan perintah berkurung oleh pihak berkuasa demi menjamin keselamatan masing-masing.

Pada ketika itu juga, penduduk sering menyaksikan konvoi kenderaan tentera atau polis melalui pekan Chemor ke Ulu Kuang atau ke Tanjung Rambutan.

Konvoi polis, tentera

Senario berkenaan diakui sendiri oleh seorang pesara guru, Yusof Hassan, 70 yang mengakui ada menyaksikan konvoi kenderaan tentera serta polis melalui kawasan berkenaan.

Katanya, setiap kali melalui kawasan Chemor, Tanah Hitam, Tanjung Rambutan, penduduk kampung terutamanya kanak-kanak pasti akan  keluar ke jalan besar untuk menyaksikan konvoi berkenaan.

“Pada ketika itu kenderaan-kenderaan polis dan tentera memang selalu masuk ke kawasan ini.

“Saya percaya, kenderaan-kenderaan itu memang akan melalui pekan Chemor, sebelum masuk ke kawasan Tanah Hitam untuk memulakan operasi,” katanya.

Tambahnya, pada ketika itu juga, polis serta tentera sering melakukan sekatan jalan (road block) di kawasan berkenaan dan setiap orang atau kenderaan akan diperiksa sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

Katanya, sekatan jalan itu berlangsung selama beberapa tahun dan hanya berakhir sekitar awal 80-an lalu

“Kalau tak salah, hanya pada 1984, barulah tak ada lagi road block di jalan-jalan di Chemor dan Tanah Hitam.

“Bagaimanapun pada hari ini, road block tu masih dilaksanakan oleh pihak polis, tetapi tidaklah sekerap dahulu.

“Lagipun, road block sekarang hanyalah untuk mengesan orang ramai yang melakukan kesalahan jalan raya, tidak ada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain,” katanya.

“Saya tak ingat tahun bila, tetapi dalam lewat 60-an atau awal 70-an. Tun Dr Ismail meminta orang ramai agar jangan sokong komunis.

“Selain itu saya masih ingat pernah berlaku pertempuran di puncak Bukit Bangkong  di Tanah Hitam antara tentera dan juga pengganas komunis.

“Saya juga difahamkan menerusi  Bukit Bangkong, adanya jalan untuk ke Pahang, Terengganu, Kelantan dan juga Thailand. Mungkin sebab inilah yang menjadikan komunis sering menggunakan laluan ini untuk melarikan diri,” katanya lagi.

Proses pembangunan

Kata-kata Yusof itu turut diakui oleh seorang pesara kerajaan, Abu Bakar Maidin, 60 yang menyifatkan kawasan berkenaan kini sudah banyak mengalami proses pembangunan berbanding dahulu.

Katanya, kawasan berkenaan juga pernah yang suatu ketika dahulu pernah dipagari dengan pagar berduri selain kawat besi selain dikawal 24 jam oleh pasukan keselamatan.

“Majoriti penduduk di sini berbangsa Cina dan bekerja sebagai pekebun, petani. Mereka tinggal berselerak dan terdedah kepada bahaya ancaman pengganas komunis yang berkeliaran di kawasan hutan berhampiran.

“Oleh itu, kesemua mereka ini dikumpulkan di sebuah kem yang dibina di kawasan Tanah Hitam dan kawasan kem itu dipagari dengan duri dan kawat besi,” katanya.

Tambah Abu Bakar, segala urusan keluar masuk penduduk di sini dikawal ketat dan mesti mendapat kebenaran daripada polis atau tentera untuk apa juga urusan.

Katanya, waktu keluar masuk juga agak terhad kerana semua penduduk perlu berada di rumah masing-masing pada masa yang telah ditetapkan.

“Pada masa itu juga tak boleh keluar sesuka hati dan bebas macam sekarang. Ada waktunya perintah berkurung (curfew) akan dikeluarkan dan semua orang kenalah tinggal di dalam rumah sahaja,” katanya.

Periksa bekalan makanan

Selain itu menurut Abu Bakar bekalan makanan yang keluar masuk ke kawasan berkenaan juga akan diperiksa bagi mengetahui sukatan makanan yang dibawa.

Katanya, pemeriksaan terhadap sukatan makanan itu dibuat bagi memastikan tiada lebihan makanan yang dibawa oleh orang ramai kerana dikhuatiri makanan berkenaan akan diserahkan pula kepada pihak komunis.

“Majoriti penduduk di Tanah Hitam ketika itu adalah pekebun serta petani yang mengusahakan kawasan tanaman masing-masing.

“Antara tanaman yang ada adalah ubi kayu, sayur-sayuran yang sekali gus menjadi sumber makanan utama dan juga sumber pendapatan mereka.

“Bagaimanapun, masa itu memang semuanya dikawal ketat. Nak keluar masuk kampung pun kena periksa sampailah kepada makanan yang dibawa.

“Semua urusan keluar masuk juga akan diperiksa oleh polis dan tentera,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kawasan Tanah Hitam sudah banyak berubah pada hari ini berbanding dahulu, terutamanya dari segi pembangunan.

Malah katanya, kawasan Tanah Hitam juga sudah mula dikenali sebagai kawasan yang sesuai bagi tujuan rekreasi, terutamanya bagi orang ramai yang gemarkan aktiviti-aktiviti lasak seperti di Bukit Bangkong dan beberapa kawasan lain.

“Kawasan Tanah Hitam dah jauh membangun berbanding dahulu. Malah, ada banyak projek-projek perumahan termasuk sekolah (SK Tanah Hitam), yang ada di sini.

“Harapan kami semoga keadaan sebegini akan berterusan dan kawasan Tanah Hitam ini terus makmur pada masa depan,” katanya.