TELUK INTAN - Radio amatur (walkie talkie) menjadi alat penghubung sekumpulan pengedar dadah di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai, di sini bagi mengelak port jual dadah dikesan pihak berkuasa.

Namun, taktik itu gagal apabila kawasan panas yang baru dibuka sebulan lalu berjaya diserbu sepasukan 20 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (JSJND), Balai Polis Chui Chak, Langkap, Labu Kubong dan Cawangan Jenayah, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, serbuan yang diketuai Pegawai JSJND, Inspektor Ahmad Saifulbahri Abd Rahman berjaya menahan dua pengedar dan 14 penagih dalam operasi bersepadu itu.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun di sekitar kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

"Kita menahan dua pengedar dadah yang berusia 23 dan 33 tahun kerana mengedar serta memiliki dadah jenis heroin.

"Lelaki pertama berusia 33 tahun ditahan di bawah Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana miliki satu paket plastik berisi dadah heroin dianggarkan seberat 6.95 gram. Manakala seorang lagi pengedar  ditahan di bawah Seksyen sama kerana memiliki satu paket plastik berisi dadah dianggarkan berat 2.15 gram," katanya.

Kok Liang berkata, enam lelaki berusia di antara 26 hingga 42 ditahan di bawah Seksyen 12 (2)/ (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana masing-masing memiliki satu tiub berisi dadah heroin dianggarkan berat 0.6 hingga 0.20 gram.

“Selain itu, lapan lelaki berusia 21 hingga 47 tahun yang juga penagih dadah turut ditahan dan kesemua suspek dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, untuk tindakan selanjutnya,” katanya, di sini.

Beliau berkata, hasil serbuan yang dibuat, pihaknya percaya satu sarang pengedaran dan penagih yang baru beroperasi di kawasan Chenderong Balai berjaya dilumpuhkan.

Menurutnya, port di tengah-tengah ladang kelapa sawit dan terletak kira-kira lima kilometer dari jalan besar itu menjadi pilihan pengedar serta penagih dadah untuk menjual mahu pun mendapatkan bekalan dadah.

"Selain itu, radio amatur yang digunakan sebagai alat perhubungan bagi memastikan perbuatan mereka tidak dapat dihidu polis, turut dirampas," katanya.

Kesemua suspek yang ditahan menjalani ujian saringan awal polis dan mendapati 16 lelaki ditahan positif heroin.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.