IPOH - “Tiada mana-mana individu di dalam Bersatu Perak lebih besar daripada matlamat perjuangan parti,”kata Pengerusi Bersatu Perak,  Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, peletakan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar dan Parit tidak memberi kesan kepada persediaan menghadapi PRU parti berkenaan.

“Fokus kami adalah untuk menyelamatkan Malaysia malah keluar masuk parti itu adalah perkara biasa dalam politik di negara ini.

“Sama ada orang Melayu tolak atau sokong Bersatu hanya akan terjawab pada PRU14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Perak, beliau mengingatkan persatuan itu supaya menasihati pemimpin Umno agar lebih berani menentang kemungkaran dan mengikut perintah ALLAH.

Ahmad Faizal berkata, beliau tidak ingin meramalkan sebarang kemungkinan kerana setiap yang hidup pasti akan mati.

“Setiap amal dan perbuatan kita akan dihisab di akhirat kelak,”katanya.