IPOH - Majlis sambutan Aidilfitri warisan keturunan Batu Baro di Kampung 40 Rantai baru-baru ini diharap dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan keturunan berkenaan.

Ketua program pengelola bersama, Kamarul Aizan Abdul Rahman, 38, berkata,  majlis yang julung kali dianjurkan itu secara keseluruhannya berjaya menghimpunkan masyarakat Batu Baro yang pada ketika ini menetap di sekitar kawasan Manjung.

“Majlis Aidilfitri ini secara keseluruhannya diharap dapat membantu  generasi muda hari ini mengetahui asal usul mereka selain berbangga dengan peranan nenek moyang mereka khususnya dalam pembentukan awal kerajaan di daerah Dinding ini.

“Malah, keturunan warisan Batu Baro ini juga dikaitkan dengan lagenda pahlawan, Pendekar Chutong yang sering ditulis oleh penulis buku terkemuka, Tamar Jalis,” katanya.

Kamarul Aizan berkata demikian sempena Majlis Sambutan Aidilfitri waris keturunan Batu Baro di Kampung 40 Rantai, baru-baru ini.

Tambah Kamarul Aizan, keturunan Batu Baro ini masih wujud terutamanya sekitar persisiran laut daerah Manjung .

Katanya, antara lokasi penempatan keturunan Batu Baro ini adalah seperti Kampung Sitiawan, Segari, Changkat Keruing, Kampung Bagan, Kampung Gunung Tunggal, Kampung Lubuk Pusing dan juga Kampung 40 Rantai.

Kamarul Aizan berkata, hampir kesemua kampung berkenaan masih mengekalkan budaya bahasa Batu Baro.

Katanya, bahasa yang seakan menyerupai bahasa Minang dan Rawa itu turut menjadi bahasa harian yang dituturkan oleh penduduk di kampung-kampung berkenaan.